Buletin Perlembagaan
Perundangan UM
Berikut merupakan terjemahan artikel ‘Treaty on ICC no threat to royals’ oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Hj. Shad Saleem Faruqi yang diterbitkan pada surat khabar The Star pada 28.03.2019.
 
Triti Mahkamah Jenayah Antarabangsa Bukan Ancaman kepada YDPA dan Raja-Raja
 
Pengenalan

Sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia patut menyokong kemustahakan moral untuk keamanan, keadilan dan ketidakagresifan serta menyambut baik ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (MJA). Statut tersebut adalah untuk mendakwa pesalah-pesalah yang melakukan jenayah-jenayah zalim dalam bentuk penghapusan kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama, jenayah terhadap populasi awam, jenayah perang dan jenayah berkenaan angkatan bersenjata.

Bantahan domestik

Sebaliknya, terdapat suara bantahan menentang ratifikasi Triti Rom atas alasan bahawa ia akan memusnahkan kekebalan Raja-Raja, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam.

Kebimbangan ini adalah langsung tidak berasas dan tiada logik, serta kelihatan seperti bersandarkan nasihat yang didorong atas dasar politik, bukan undang-undang, emosi dan bukan pertimbangan.

Negara yang aman tidak ada apa yang perlu dibimbang

Malaysia dan pemimpin-pemimpin tentera dan awam Malaysia tidak pernah mengambil bahagian dalam penghapusan kumpulan bangsa, etnik, kaum atau agama, jenayah terhadap populasi awam, jenayah perang dan jenayah berkenaan angkatan bersenjata. Oleh itu, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan oleh pemimpin-pemimpin dan rakyat Malaysia yang lain.

Tiada ratifikasi

Tetapi jika pada masa hadapan, terdapat ahli-ahli politik, anggota polis atau anggota tentera yang melakukan kesalahan yang dinyatakan, MJA sememangnya akan mempunyai bidang kuasa ke atas mereka. Malahan, jika sekalipun Malaysia tidak meratifikasi Statut Rom atau menarik diri daripada MJA, jenayah-jenayah antarabangsa masih boleh didakwa melalui dua cara.

Pertama, MJA boleh mempunyai bidang kuasa jika diberi kuasa oleh Majlis Keselamatan PBB. Kedua, PBB boleh menubuhkan tribunal sementara seperti mana yang dilakukan untuk Rwanda dan Yugoslavia dahulu. Justeru, ratifikasi atau tiada ratifikasi, dalam keadaan semasa undang-undang antarabangsa, pesalah-pesalah berkemungkinan tiada tempat untuk bersembunyi.

Raja-Raja, Islam dan orang Melayu

Triti tersebut tidak mempunyai kesan terhadap Raja-Raja Negeri kerana Duli-Duli Yang Maha Mulia tidak mempunyai sebarang peranan dalam ketenteraan, polis atau pelaksanaan polisi asing. Kedudukan orang Melayu dan Islam juga tidak terancam selain daripada dalam imaginasi sesetengah orang yang menjadi-jadi.

Mengenai kekebalan Raja-Raja pula, Raja-Raja tidak lagi mempunyai kekebalan daripada tindakan sivil atau dakwaan jenayah di Malaysia sejak pindaan kepada Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1993.

Kekebalan asing masih wujud (seperti di bawah kes Mighell v Sultan of Johor, 1894) tetapi bukan untuk empat jenayah yang terkandung dalam Statut Rom.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong adalah lebih kompleks. Seri Paduka Baginda ialah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan (Perkara 32) dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (Perkara 41). Persoalannya, bolehkah YDPA didakwa dan disabitkan kesalahan bagi jenayah-jenayah yang dilakukan oleh orang bawahannya seperti mana yang berlaku terhadap Presiden Omar al-Bashir di Sudan?

Adalah dihujahkan bahawa Seri Paduka Baginda adalah tidak bertanggungjawab bagi sebarang jenayah antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat. Terdapat perbezaan jelas antara Yang di-Pertuan Agong kita dan diktator-diktator dan pemerintah-pemerintah yang berkuasa mutlak seperti Bashir di Sudan. Bashir telah mengemudi negara beliau selama 30 tahun.

YDPA kita ialah seorang raja berperlembagaan di mana Perkara 40(1) dan 40(1A) mengkehendaki YDPA untuk bertindak mengikut nasihat, kecuali dalam sesetengah keadaan yang tidak relevan di sini.

Terdapat perbezaan jelas antara seorang yang diletakkan hak kuasa dan seorang yang menjalankan kuasa tersebut. YDPA kita ialah Ketua Negara tetapi bukan Ketua Kerajaan. YDPA ialah Ketua Negara secara formal tetapi bukan dari segi fungsi.

Terdapat autoriti yang kuat untuk hujahan ini seperti dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Kerajaan Malaysia (1968) dan Teh Cheng Poh v Pendakwa Raya (1979). YDPA tidak bertanggungjawab bagi sebarang keputusan atau pergerakan ketenteraan dari segi operasinya.

MJA (dan tribunal-tribunal antarabangsa sebelum ini) memburu pesalah-pesalah sebenar yang mengarahkan atau melakukan kekejaman besar-besaran dan bukannya ketua-ketua negara berperlembagaan atau ‘ceremonial’ (upacara). Di Kampuchea, contohnya, Khieu Samphan dan Nuon Chea, orang-orang kanan Khmer Rouge di bawah Pol Pot, yang didakwa dan bukannya Putera Norodom Sihanouk. Selepas Perang Dunia Kedua, Perbicaraan Tokyo mendakwa 28 pemimpin-pemimpin Jepun dan bukannya Maharaja Hirohito.

Perlu kita mengambil perhatian bahawa 14 negara-negara yang berdaulat dengan raja berperlembagaan telah meratifikasi Statut Rom tanpa kebimbangan palsu yang kita sedang hadapi. Antaranya ialah Kemboja, Jepun, Jordan dan United Kingdom.

Peguam Lim Wei Jiet telah menunjukkan bahawa Malaysia pernah menandatangani triti antarabangsa yang tidak memberi kekebalan kepada raja-raja atau pegawai-pegawai awam; kita telah meratifikasi Konvensyen Genosid 1948 pada 1994.

Kedaulatan negara

Di bawah Statut Rom, MJA boleh menyiasat dan mendakwa empat jenayah antarabangsa utama sahaja dan bukan kesalahan-kesalahan yang lain bawah Kanun Keseksaan kita. Pendakwaan MJA hanya boleh bermula jika negara-negara anggota sendiri tidak “berupaya” atau “keberatan” untuk berbuat demikian. MJA merupakan mahkamah pilihan terakhir.

Sejarah

Penandatanganan triti ini pada awal bulan Mac merupakan sebahagian daripada suatu proses yang panjang yang bermula pada Julai 1998 apabila Akta Akhir Persidangan Diplomatik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang Berkuasa Penuh bagi Penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa ditandatangani.

Kelebihan-kelebihan

Terdapat banyak kelebihan menandatangani Triti:
  • Statut MJA ialah selari dengan Inisiatif Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang, yang dirasmikan di Forum Keamanan Sejagat Perdana pada Disember 2005.
     
  • Keahlian MJA kita berkemungkinan melunturkan niat penjenayah-penjenayah antarabangsa untuk bersembunyi di tanah air kita. Jika mereka memasuki negara kita, kita akan mempunyai justifikasi undang-undang untuk mengekstradisi mereka ke MJA.
     
  • Sebagai anggota triti MJA, kita boleh menyuarakan kritikan terhadap keberatan atau ketidakupayaan MJA untuk mendakwa negara-negara kuasa besar yang melakukan jenayah-jenayah kejam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Libya, Yaman dan Syria yang diduduki.
     
  • Kita boleh mendesak supaya  kekejaman di Myanmar dan kejatuhan MH17 disiasat oleh Majlis Keselamatan PBB.
     
  • Keanggotaan MJA kita akan menjadi contoh teladan yang baik kepada lapan daripada 10 anggota negara Asean yang lain yang masih belum meratifikasi triti ini.
Kesimpulannya, komitmen kita kepada hak-hak asasi manusia menuntut kita untuk menyertai 124 negara-negara yang lain yang kini mendokong suatu sistem keadilan antarabangsa terhadap pembunuh-pembunuh besar-besaran.

Shad Saleem Faruqi ialah pemegang Kerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Pandangan yang dinyatakan di sini keseluruhannya merupakan pandangan penulis.

Terjemahan oleh James Low (Pengurus dan Ketua Penyunting Buletin Perlembagaan Perundangan UM) dan Firdaus Husni (Ahli Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan Majlis Peguam). Terjemahan telah diluluskan oleh Shad Saleem Faruqi.
Ingin menerima buletin bulanan daripada Buletin Perlembagaan Perundangan UM?
LANGGAN
Copyright © 2019 UM Law Constitution Bulletin, All rights reserved.


Want to change how you receive these emails?
You can update your preferences or unsubscribe from this list.

Email Marketing Powered by Mailchimp